Sudahkah kita bersedia merebut peluang?
Sebelum ini telah dikongsi cerita tentang persediaan untuk kaya. (KLIK DISINI untuk baca lanjut). Kali ini saya mahu berkongsi persoalan, sudahkah kita bersedia untuk menggunakan peluang yang masih ada sebelum ia pergi meninggalkan kita?
Tak dinafikan selama ini kita seringkali terlepas banyak peluang. Kenapa? Kerana kita tidak bersedia. Bukan semua peluang itu kita kena rebut atau ambil. Tetapi kalau peluang yang kita memang perlukan terlepas, itu disebabkan tidak bersiap sedia sentiasa. Walaupun kita mampu mengambil peluang tersebut.
Jika peluang yang kita tidak mampu rebut, ia masih boleh diterima walaupun peluang itu betul betul di depan mata. Kerana kita tidak bersedia dan itu salah kita, rugi terlepas peluang yang muncul di depan mata.
Dalam posting ini, kita mahu menjawab persoalan kenapa kita masih juga gagal menggunakan peluang yang ada walaupun sudah berada di depan mata dan mampu merebutnya. Ya, kenapa boleh jadi begitu?
Ia ada hubung kait dengan kesedaran akal dan hati. Sebelum ini telah dikongsi juga tentang akal sedar dan akal separa sedar (KLIK DISINI untuk bacaan lanjut). Akal ada di dalam otak kita dan ianya ada dua jenis. Kejayaan dan kegagalan kita bergantung kepada keupayaan otak kita untuk respon dengan apa yang terjadi di sekeliling dan juga peristiwa dalam kehidupan.
Peluang tidak menampakkan dirinya yang sebenar
Kadang kadang kita tidak tahu pun apa yang berlaku itu adalah satu peluang. Kadang kadang juga peluang itu muncul dalam bentuk ancaman. Akal sedar kita melihat sesuatu ancaman itu sebagai bahaya, tetapi kita gagal menggunakan akal separa sedar untuk menilai semula ancaman tersebut sehingga peluang yang sepatutnya boleh muncul terlepas begitu saja.
Bagaimana kita boleh memahami keadaan begitu? Kita perlu tahu bahawa segala kejayaan yang dicapai pada hari ini bermula dengan ancaman kepada diri sendiri dan seluruh masyarakat. Hidup miskin dan susah adalah ancaman, tetapi ada orang melihat kemiskinan dan kesusahan itu berlaku kerana penindasan orang kaya dan orang yang lebih berkuasa.
Maka ramai orang yang merasakan mereka miskin dan terancam dengan kemiskinan akibat penindasan tersebut, bangkit berjuang menentang golongan kaya dan berkuasa pemimpin politik. Perbuatan mereka itu sebenarnya akan menutup peluang dan mereka akan terlepas peluang untuk bangkit dan maju ke hadapan.
Sebenarnya apa yang patut kita lakukan apabila hidup susah dan miskin, pada masa sama dikelilingi orang kaya yang tamak dan mereka yang berkuasa menyeleweng. Kita tidak perlu menentang mereka, kerana kita pasti akan tewas dan ditundukkan. Kita akan kehilangan peluang untuk bangkit dan maju.
Kita sepatutnya berkompromi saja dengan orang kaya dan pemimpin yang berkuasa. Biar Tuhan saja yang menentukan nasib mereka. Tak perlu kita menghukum mereka, serah saja kerja menghukum itu kepada Tuhan. Kita jangan campur tangan buat kerja Tuhan dan mahu jadi Tuhan.
Ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada orang kaya. Kita mesti tahu apa sebab orang kaya terus kaya dan orang miskin terus miskin. (KLIK DISINI untuk bacaan lanjut). Guna peluang untuk belajar sesuatu daripada orang kaya, rebut peluang yang ada daripada apa yang diberikan oleh pemimpin yang berkuasa. Kenapa pula perlu menentang mereka?
Belum tiba masanya untuk kita gunakan peluang lain yang boleh muncul nanti apabila kita sudah bersiap sedia dengannya. Tetapi sudah tahu apa yang patut kita akan buat nanti. Melalu akal sedar, kita tahu tidak ada gunanya menentang orang kaya dan yang berkuasa.
Melalui akal separa sedar, kita boleh tahu jika kita rebut dan guna apa saja peluang yang ada di depan mata sekarang dan juga yang ada di sekeliling kita, suatu masa kelak kita akan menjadi orang yang mampu merebut lebih banyak lagi peluang lain. Kesabaran dan ketenangan mesti ada. Jangan bertindak terburu buru, jangan ikutkan hati yang marah untuk mengecam orang kaya dan berkuasa. Nanti buruk padahnya. Kerana mulut badan binasa, kerana perbuatan menjadi mangsa.
Bila hidup susah berusaha lah untuk menjadi senang
Kenapa kapal terbang dicipta? Supaya senang untuk ke mana mana saja tanpa halangan hutan, gunung ganang dan lautan. Kenapa jangan melawan orang kaya? Supaya senang untuk belajar daripada mereka bagaimana boleh jadi kaya dan merebut peluang untuk kaya seperti mereka. Kenapa jangan melawan pemimpin politik? Supaya apa saja bantuan yang diberi melalui kerajaan, kita dapat terima dan guna peluang kemudahan lain untuk memajukan diri.
Tanpa terciptanya kapal terbang, tentu sampai sekarang kita akan bersusah payah meredah hutan tebal, gunung ganang yang tinggi dan lautan dalam yang luas. Jika kita terus menentang orang kaya dan pemimpin politik, tentu sekarang kita dibuang kerja dan disumbat ke dalam penjara. Orang kaya dan berkuasa boleh guna apa saja untuk menundukkan kita.
Kalau tak suka orang kaya dan pemimpin politik ada caranya untuk menentang mereka, tanpa perlu merugikan diri dan menutup semua peluang yang ada. Kita perlu sedar kita orang miskin dan susah tak punya apa apa sekarang. Rebut dan guna peluang yang ada diberikan saja. Jangan lepaskannya hanya kerana marah.
Adakah akal separa sedar kita boleh nampak peluang yang lebih banyak jika guna segala peluang yang ada. Peluang lain akan terbuka sedikit demi sedikit dan kita mesti bersedia dengan mengintainya supaya tak terlepas merebutnya. Peluang itu bukan hanya dalam bentuk wang dan harta benda saja.
Sebagai contoh peluang dalam bentuk wang dan harta apabila berbaik baik dengan orang kaya atau pemimpin politik, kita berpeluang untuk mendapat kerja atau kontrak projek. Manakala contoh peluang bukan dalam bentuk wang dan harta apabila dapat belajar sesuatu bagaimana orang kaya itu boleh jadi terlalu kaya dan bagaimana orang politik itu boleh berkuasa dan menjadi lebih berkuasa.
Namun begitu, jangan pula jadi macai atau jadi pencacai. Jangan pula jadi hamba orang kaya. Disuruh buat perkara jahat, ikut saja sebab mahu dapat wang dan harta banyak. Tak semua orang kaya itu jahat. Ada yang jadi kaya dengan cara yang betul dan baik. Itu yang kita kena pelajari.
Kenapa kita perlu tahu semua itu? Kerana pada suatu masa kelak apabila kita sudah bersedia merebut peluang, kita boleh ambil alih kekayaan dan kekuasaan mereka. Bukan dengan cara merampasnya tetapi menggunakan pengaruh dan kekuatan yang telah kita bina melalui perhubungan dengan Tuhan dan juga manusia.
Bunyi nampak pelik tetapi akal separa sedar sudah boleh nampak apa yang boleh berlaku dengan membina ruang dan peluang disebalik peluang yang telah digunakan sebaiknya. Kenyataan ini akan dianggap sebagai "fake", tidak benar selagi ianya tidak berlaku dan menjadi kenyataan. Tidak mengapa, itu memang betul. Siapa nak percaya kita kalau hanya cakap saja.
Namun untuk menjadikan ia satu kenyataan, kita perlu melakukan dua perkara ini. Iaitu memprogramkan semula pemikiran kita dengan rancangan masa depan yang dapat dicapai sedikit demi sedikit, dan lakukan secara berulang ulang dalam tindakan kita untuk berusaha mencapai apa yang kita impikan. (KLIK DISINI untuk menonton video berkaitan).
Pemprograman semula otak kita dan juga latihan berulang ulang kita akan menjadikan kita automatik. Kita terus buat apa yang kita mahu buat daripada apa yang telah dirancang. Dan daripada tindakan tersebut lah akan terhasil kejayaan sedikit demi sedikit. Apa yang penting jangan putus asa dan jangan berhenti untuk melakukannya.
Kesimpulan
Bersedia dari sekarang, rebut sahaja segala peluang yang ada. Tidak perlu sangat untuk menjadi seorang yang degil dan kuat menentang. Kita boleh menentang apabila kita sudah bersedia, tetapi tentangan kita bukan dengan cara keganasan.
Kita mahu menawan dunia dengan cara merebut peluang, mencipta peluang dan menggunakan ruang keamanan untuk mencari peluang bagi mencapai kejayaan tanpa sebarang tentangan yang mengancam kebebasan dan keselamatan masa depan kita.
Jika Tuhan perkenankan, mungkin segala apa yang kita perlu akan diberikan dengan mudah supaya dapat menguasai dunia dan menyebarluaskan kebaikan ke pelusuk alam.
===================
👍 LIKED FACEBOOK PAGE CLICK HERE
Ulasan
Catat Ulasan