Kebebasan bermula dengan pengurusan wang
Kenapa saya sangat menekankan asas pengurusan kewangan dan asset? Tak perlu terlalu rumit. Permudahkan saja apa yang kita mampu nak buat.
Kisah dalam buku ini ringkas saja, ia berlaku di zaman kerajaan Babylon beribu tahun dahulu. Bukti sejarah menunjukkan kehidupan masyarakat Babylon bertamadun tinggi dari segi pengurusan harta dan kekayaan.
Ia bermula dengan seorang anak muda yang ingin menjadi kaya seperti mana orang kaya yang wujud pada zaman itu. Anak muda ini rajin bekerja. Pekerjaannya adalah sebagai tukang tulis pada kepingan batu. Zaman itu belum wujud kertas.
Suatu hari anak muda itu mendapat tawaran menulis rekod daripada seorang hartawan. Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pegawai istana dan hartawan di Babylon.
Hartawan tersebut menawarkan ganjaran yang tinggi jika dapat menyiapkan rekod tulisan dalam masa singkat. Anak muda tersebut menerima tawaran.
Tetapi sebelum dapat menyiapkannya, anak muda itu bertanya kepada hartawan tersebut bagaimana dia mampu menjadi kaya.
Oleh kerana rekod tulisan itu sangat penting dan anak muda itu berjanji menyiapkan segera maka hartawan itu setuju berkongsi rahsianya. Rahsia itu tak pernah diceritakan kepada orang lain sebelumnya.
Oleh kerana dibayar upah tinggi dan mendapat ilmu pengetahuan baru, anak muda itu menunaikan janjinya dan sehari semalaman cuba menyiapkan rekod ukiran tulisan pada kepingan batu tersebut.
Hartawan itu mengucapkan banyak terima kasih kepada anak muda tersebut dan berpesan ilmu tersebut tak ada gunanya kalau tidak diamalkan. Hartawan tersebut mencabar anak muda tersebut melakukan apa yang telah diajarnya.
Hartawan itu akan kembali semula menemuinya setelah genap setahun untuk mengetahui perkembangannya.
Ia adalah berkaitan dengan kebebasan pengurusan wang. Ramai orang mampu bekerja dan menerima upah yang banyak. Tetapi gagal mengurus kewangan dengan baik.
Apabila semua wang dibelanja malangnya tidak tahu ke mana perginya wang itu. Wang habis dibelanja tanpa meninggalkan apa apa yang boleh menjadikan wang tersebut dapat membebaskan diri daripada terus bergantung harap kepada upah kerja.
Meratapi nasib tidak selesaikan masalah
Anak muda tersebut ada beberapa orang rakan yang selalu mengeluh tentang nasib mereka. Sudah buat apa yang terbaik dalam pekerjaan yang dilakukan. Tetapi tidak juga mampu menjadi seperti mereka yang sudah berjaya. Mungkin bukan nasib mereka untuk jadi kaya kata mereka.
Namun anak muda itu mengambil pendekatan untuk terus berusaha dan melakukan apa yang telah diajarkan oleh hartawan tersebut. Setahun berlalu, anak muda tersebut menerima kunjungan hartawan seperti yang telah dijanjikan. Anak muda itu sudah melakukannya tetapi rugi. Ditanya oleh hartawan itu kenapa?
Apa yang telah terjadi kerugian itu disebabkan oleh anak muda itu menyerahkan wang yang disimpan daripada upahnya kepada seorang saudagar yang tidak kenal mana permata dan kaca.
Daripada situ, anak muda itu mendapat pengajaran berguna. Jika mahu jadi kaya bukan saja pandai menyimpan sedikit wang daripada gaji untuk dilabur dalam bisnes. Malah mesti tahu latarbelakang orang bisnes dan juga bisnes yang dilakukannya supaya tak ditipu dan rugi dalam bisnes yang "scam".
Hartawan itu akan kembali lagi tahun depan untuk mengetahui perkembangan anak muda itu belajar sesuatu daripada apa yang telah berlaku dan dipelajarinya. Tak perlu dikenang kerugian yang telah berlaku. Teruskan hidup dan diperbaiki kesilapan. Jangan diulang kegagalan lepas.
Ketika anak muda itu terus mempraktik menyimpan sedikit demi sedikit wang daripada upah kerjanya, rakannya yang lain terus mengeluh berkata tak cukup wang untuk menyimpan. Daripada kesilapan, anak muda itu belajar cara melabur dengan betul. Sementara rakannya yang lain terus melakukan kesilapan dengan tidak berbuat apa apa untuk mengubah nasib.
Ini bukan soal nasib, tapi soal tidak mahu berfikir dengan apa yang telah diajar. Anak muda itu belajar sesuatu bagaimana untuk jadi seorang yang kaya daripada hartawan yang menjadi pelanggannya dalam mengambil upah kerja menulis rekod.
Kita mesti belajar sesuatu daripada orang kaya. Apa yang baik kita ambil sebagai pelajaran. Apa yang tak baik jangan diikut, seperti sikap tamak, kedekut, menindas yang miskin dan lemah dan menggunakan harta untuk kerja kerja kejahatan.
Jadikan wang bekerja untuk kita
Anak muda itu belajar cara bagaimana bekerja untuk mendapatkan wang lebih dan belajar menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan daripada pekerjaan yang dilakukannya.
Apakah rekod ukiran batu yang dibuatnya daripada hartawan tersebut? Ia adalah rekod harta yang bakal diwariskannya kepada seseorang yang boleh dipercayainya untuk menguruskannya dengan baik.
Pada tahun kedua, anak muda itu telah dapat memperbaiki kesilapan lalu. Wang yang disimpannya daripada upah kerja digunakan sebaiknya. Dia tak lagi menyerah kepada orang lain sesuka hati. Hanya orang yang boleh dipercayai saja akan menerima pelaburan daripada wangnya.
Wang itu digunakan untuk menghasilkan wang. Wang itu akan bekerja bagi mendapatkan lebih banyak lagi wang. Anak muda tersebut telah bekerja bagi mendapatkan wang upah dan tidak mensia siakan penat lelahnya bekerja dengan menyimpan sedikit wang upah itu untuk dilabur dalam bisnes bagi menjana lebih banyak wang.
Wang Simpanan yang telah dilabur dapat membangunkan bisnes pertama. Keuntungan bisnes itu dapat diguna untuk mengembangkan bisnes itu sendiri. Upah yang diterima daripada kerja terus disimpan supaya dapat membangunkan bisnes kedua. Begitulah seterusnya, dibuat secara berulang ulang. Melakukan perkara yang betul dan memperbaiki apa apa kesilapan yang tidak disengajakan.
Hartawan itu kembali lagi menemui anak muda tersebut bagi mendengar laporannya dan melihat perkembangan yang telah berlaku kepadanya. Hartawan itu merasa bangga dengannya kerana telah berjaya mempraktikkan apa yang yang telah diajar. Tidak hanya tahu saja, tetapi buat apa yang dia tahu. Begitulah sepatutnya kita buat.
Kekayaan adalah untuk orang yang pandai urus wang
Oleh kerana hartawan itu sudah lanjut usia, dia mahu mewariskan sebahagian hartanya untuk diurus oleh seseorang yang boleh mengembangkannya. Dia tak mahu menyerahkan hartanya kepada orang yang akan menghabiskan hartanya.
Hartawan itu juga mahu seseorang yang boleh dipercayai apabila memperoleh lebih wang dan harta akan menjaga dan menguruskannya dengan baik.
Itulah yang diajarkannya kepada anak muda yang bekerja sebagai tukang tulis pada batu yang diukir. Seorang yang kaya bukan saja perlu tahu urus wang malah perlu tahu buat laporan. Apa yang perlu dilakukan supaya tak rugi dan boleh buat untung banyak. Sebab itu hartawan itu kembali menemui anak muda itu setahun sekali bagi mengetahui laporan perkembangannya dalam pengurusan kewangan.
Akhirnya apa jadi kepada anak muda itu? Dia telah diberi kepercayaan untuk menjaga sebahagian harta milik hartawan tersebut untuk pelaburan. Anak muda itu diberi amanah untuk mengembangkan harta tersebut dan mendapat ganjaran yang banyak daripada bisnes yang dilakukan.
Sementara itu, semakin usia meningkat rakan anak muda tersebut masih lagi bekerja mendapat upah dan keadaan hidup masih sama seperti dulu. Walaupun kelihatan sudah ada kemajuan, ia masih tak jauh beza dengan sebelumnya. Berbanding anak muda tadi akhirnya menjadi salah seorang hartawan di Babylon. Perubahan yang sangat ketara.
Kekayaan itu adalah milik orang yang pandai urus wang. Bukan untuk orang yang pandai cari wang banyak tapi gagal menggunakan wang supaya dapat bekerja untuknya pula. Pandai cari wang banyak dan terus melakukannya tetapi tidak berjaya membangunkan bisnes supaya tak perlu lagi bekerja keras mendapatkan wang yang banyak sampai ke tua.
Kesimpulan
Ini baru satu kisah saja. Ada beberapa kisah lagi yang telah ditemui dalam sejarah tamadun Babylon. Ada kisah bagaimana seorang anak orang kaya diberi syarat jika mahu mewarisi harta bapanya, mesti pandai berdikari dengan bekalan yang diberikan. Klik disini untuk baca lanjut.
Ada juga kisah tentang bagaimana seseorang yang memiliki banyak wang dan harta memanfaatkannya untuk membantu orang lain sambil mengembangkan lagi wang dan hartanya itu.
===================
👍 LIKED FACEBOOK PAGE CLICK HERE
👍 LIKED FACEBOOK PAGE CLICK HERE
Ulasan
Catat Ulasan