Sebuah kisah tentang seorang lelaki bernama Banshir, dia hanya bekerja sebagai kuli biasa saja dengan kerja tetap bergaji bulanan. Walaupun begitu, atas kesedarannya tentang pengurusan harta dan kewangan yang baik telah membuatnya insaf untuk tidak lagi mengulangi kesilapan lalu.
Sekarang usia Banshir sudah 40 tahun, walaupun agak terlambat tidak bermakna dia harus menyerah kalah. Sebelum terlambat lagi, Banshir berkata kepada dirinya dia mesti berubah. Banyak masa, tenaga dan wang telah dibazirkan selama ini sehingga mengalami banyak kerugian dan meninggalkan beban hutang.
Kali ini Bashir akan melakukan satu perancangan yang berani untuk mengubah kehidupan secara lebih drastik. Dalam menceritakan kisah Banshir ini, banyak siri kisahnya akan diceritakan disini.
Kisah ini adalah daripada realiti kehidupannya untuk dijadikan satu teladan kepada mereka yang mahu mengambil iktibar daripada sebuah cerita tentang kehidupan masa lalu dan akan datang.
Banshir ini seorang lelaki yang bagus dan rajin bekerja, tetapi di peringkat awal kehidupan dia mengalami masalah pengurusan harta dan kewangan yang agak teruk. Tetapi masih lagi terkawal. Banshir bukanlah seorang lelaki yang suka berfoya foya atau seperti orang lain yang suka membazir wang dan membuang masa.
Cuma kelemahan Banshir adalah tidak ada asas struktur pengurusan harta dan kewangan yang betul. Sebab itulah dia mudah ditipu dan terpedaya. Banshir telah menyedari kesilapan tersebut dan berjanji tidak akan mengulangi lagi.
Walaupun begitu, Banshir juga sedar kesilapan itu juga adalah satu proses pembelajaran. Tetapi jika kesilapan yang sama masih berulang ulang itu bukan belajar namanya. Itu bodoh. Banshir tidak mahu lagi menjadi seorang manusia bodoh.
Sudah tahu ia tak betul dan merugikan, kenapa masih melakukan perkara yang sama. Kesilapan yang tak disengajakan boleh dimaafkan. Tetapi kesilapan yang sudah diketahui ianya salah tetapi masih lagi dilakukan adalah satu kebodohan diri sendiri. Banshir fikir umur 40 tahun adalah satu permulaan yang baik untuk mengubah masa depan.
Belajar daripada kelemahan
Kenapa berlakunya kesilapan? Itulah persoalan yang terbuku di dalam fikiran Banshir. Dia rasa sangat perlu untuk menjawabnya kerana kesilapan itu berlaku mesti dengan bersebab.
Adakah kerana dia bodoh? Banshir merasakan tak mungkin sebab bodoh. Tak ada manusia lahir untuk dijadikan bodoh. Tuhan mencipta manusia bukan untuk jadi bodoh. Itu keyakinan Banshir.
Apabila bersendirian, Banshir selalu mengenang kisah lalu dan merenung masa depannya. Kenapa berlakunya semua apa yang sudah berlaku? Apakah ia akan berlaku lagi pada masa depan?
Kalau yang berlaku itu baik memang sangat diharapkan. Tapi kalau yang tak baik berterusan dan berulang ulang, ia adalah satu tragedi. Tragedi berlaku kerana kesilapan dan kelalaian manusia itu sendiri.
Puas Banshir memikirkannya, kesilapan itu bukanlah disengajakan. Ia berlaku kerana kelemahan diri sendiri. Kalau dari dahulu lagi Banshir melakukan apa yang sepatutnya dilakukan, perkara buruk tak akan terjadi.
Apakah kelemahan tersebut? Lalai dan leka dengan keseronokan. Nak dikatakan senang, Banshir sekadar cukup makan saja dengan pendapatan bulanan yang memadai. Apabila mula seronok, lupalah dengan perangkap dan jerat yang dipasang.
Sebagai contoh satu kes yang berlaku di mana Banshir bercita cita mahu berjaya dan mendapat pendapatan lebih yang lumayan. Lalu muncullah seorang manusia yang mengajak sesiapa yang mahu berjaya ikut caranya. Banshir tertarik dengan pengajaran orang tersebut.
Diajar begitu begini bagaimana mahu menjual dan menarik pelanggan. Banshir pun percaya dan akan ikut cara itu. Tetapi kelemahan Banshir tidak menilai situasi dirinya dan situasi sekeliling. Apa beza Banshir dengan orang lain itu? Banshir tinggal di luar bandar, orang itu tinggal di bandar.
Cara orang itu terpakai apabila diguna di bandar kerana mempunyai ramai orang untuk jadi pelanggan. Tetapi Banshir tinggal di luar bandar, tidak ramai orang dan kuasa beli pengguna pun agak lemah.
Kelemahan sebenar Banshir ketika itu adalah gagal membuat penilaian secara terperinci dalam memutuskan sesuatu perkara yang penting. Buat saja dan jangan bertangguh adalah sesuatu yang positif tetapi apabila sudah terjebak, untuk undur semula tidak dapat.
Maka sengala untung rugi tanggung sendiri. Rugi itu pasti, untung belum tentu dapat. Kelemahan ini perlu diperbaiki. Lebih malang lagi, Banshir pernah terjebak dengan skim cepat kaya. Wang hangus begitu saja.
Terus Berfikir dan perbaiki diri
Banshir tidak mahu mengenang kesilapan lalu, biarkan ia berlalu dan jadi sejarah yang akan dicatat sebagai pengajaran. Justeru, Banshir mengambil langkah bijak untuk menulis kisah ini sebagai satu sejarah. Sejarah yang akan mengajarnya untuk terus berfikir dan perbaiki diri.
Mereka yang lupa sejarah akan mudah terpedaya lagi dengan tipu helah yang licik. Maka itu, belajar daripada sejarah bermakna belajar untuk mencari jalan terbaik bagaimana perbaiki diri supaya tak mengulangi kesilapan yang sama berulang kali.
Banshir akan bercerita tentang apa harapannya untuk masa depan. Apa yang boleh dilakukannya dan apa yang mesti dilakukannya. Banshir tidak mahu lagi leka dan lalai dengan keseronokan sementara. Banshir mahu setiap waktu dan ketika dapat melakukan apa yang terbaik untuk keesokan harinya.
Berfikir saja tak cukup. Apa yang difikir perlu dicatat dan catatan itu pula perlu disampaikan dalam bentuk cerita. Kadang kadang apa yang belum berlaku itu perlu diceritakan dalam bentuk fiksyen. Tetapi, fiksyen itu pula perlu berlandaskan kepada realistik kehidupan. Fantasi itu boleh namun biarlah ia tidak terlalu dongeng.
Banshir akan mula bercerita dan mengembara dalam penceritaan kisah hidupnya. Hanya dengan bercerita saja, apa yang difikirkannya boleh menjadi satu kenyataan. Bagaimana ia boleh dilakukan? Adalah dengan memperbaiki diri. Apa yang kurang ditambah, apa yang lemah diberi kekuatan.
===================
👍 LIKED FACEBOOK PAGE CLICK HERE
Ulasan
Catat Ulasan