Kelicikan riba dan sistem piramid
Banshir hidup di zaman yang cukup bahaya kerana bahaya itu sendiri pun tidak disedari dan tidak nampak dengan mata kasar. Bayangkan seseorang itu tanpa dipaksa, rela untuk menjadi seorang hamba yang patuh dan setia. Apabila sudah jadi hamba tidak sedar dirinya sudah jadi hamba dan masih berkata dirinya adalah seorang yang bebas merdeka.
Dalam zaman Banshir ini ada seorang taikun bernama Catherine, cantik namanya dan sangat menggoda. Dia adalah seorang wanita yang boleh menyebabkan sesiapa saja akan tunduk patuh. Wanita jadi taikun? Dahsyat sungguh. Apa yang membuatkan Catherine sangat hebat adalah boleh menundukkan sesiapa saja tanpa paksaan. Dengan relanya seseorang itu boleh menyerah diri kepadanya.
Kenapa? Catherine menawarkan kehidupan yang indah kepada sesiapa yang mahu mengikut arahannya. Adakah kehidupan pengikutnya benar benar indah? Ya, benar. Tetapi disulami dengan kesengsaraan. Apa yang dimahukan tetap akan dapat tapi ia dibayar dengan harga yang sangat mahal. Bermakna, untuk mendapatkannya pengikutnya mesti bayar dengan mahal dan ianya boleh dapat sekelip mata saja.
Banshir sudah amat arif dengan permainan Catherine ini sebab dia dahulu juga pernah terkena perangkapnya. Kerana terperangkap lah sampai sekarang Banshir terpaksa menanggung akibatnya. Kerana dia juga pernah merasainya maka Banshir menceritakan pengalaman ini.
Catherine ibarat seorang penjerut leher yang sangat licik. Bila sudah masuk perangkap dan leher terjerut ke dalam tali, apabila cuba melepaskan diri dan menarik leher keluar tali itu akan semakin ketat. Semakin kuat ditarik maka semakin ketat. Supaya tidak tercekik maka ikut saja apa yang disuruh dan mohon simpati untuk dilepaskan. Kalau nasib bagus, maka lepaslah. Begitulah perumpamaannya.
Apa yang Catherine ini buat adalah sesiapa yang mahu hidup senang mesti ikut peraturannya. Dia akan beri segala apa yang orang itu mahu dalam sekelip mata tapi ia bukan percuma. Mesti bayar balik tetapi dengan harga yang sangat mahal daripada yang sepatutnya. Untuk membayarnya boleh mengambil masa berpuluh tahun.
Kalau tak ada duit untuk bayar pada permulaannya tak apa. Yang penting sanggup ikut arahan buat kerja untuk dapat duit dan bayar hutang itu sehingga habis. Catherine pandai memujuk untuk berhutang bagi mendapatkan sesuatu dalam sekelip mata tetapi terpaksa membayarnya selama bertahun tahun dengan menghadapi segala kepayahan sepanjang membayar hutang.
Tapi itu tak mengapa, apa yang penting kata Catherine adalah impian menjadi kenyataan. Tak cukup duit bayar hutang boleh buat kerja lagi. Kerana terlalu banyak buat kerja dan bersusah payah bekerja, seseorang itu banyak kehilangan masa dan kebahagiaan dalam hidup. Tidak bebas menentukan apa yang mahu dilakukan. Tak apa kata Catherine, setiap impian mesti ada pengorbanan. Bukan senang nak capai kejayaan.
Catherine seorang yang memiliki kuasa membuat sesuatu hanya dengan duit. Catherine bercakap hanya dengan duit, orang akan ikut saja kata dia kerana mahukan duit yang banyak tanpa perlu memilikinya. Bagaimana? Dengan cara berhutang. Secara dasarnya kalau ada banyak duit tunai boleh beli rumah besar dan kereta mewah. Tetapi kalau tak ada tunai pun boleh berhutang dan dapat rumah serta kereta serentak.
Oleh kerana Catherine bercakap menggunakan duit, dia boleh bercakap dengan sesiapa saja dalam semua peringkat dan tahap manusia. Daripada tahap rendah sampai ke tahap tertinggi dalam kerajaan yang memerintah. Catherine boleh mengarah raja kalau dia mahu tapi bukan semua raja akan tunduk. Kerana raja yang berkuasa tak akan tunduk kepada siapa siapa. Raja tahu kalau dia tunduk kepada arahan orang lain maka dia bukan lagi raja.
Catherine seorang yang pandai menggunakan sistem piramid. Dia mesti menguasai raja supaya ikut arahannya barulah dapat menguasai semua peringkat bawahan raja. Dari peringkat menteri, golongan agamawan dan cendekiawan, kemudian golongan aristokrat dan teknokrat, seterusnya golongan bawahan daripada kalangan rakyat. Semua itu dia boleh lakukan hanya dengan duit.
Tetapi tak semua raja akan ikut arahan Catherine walaupun dipujuk rayu dan dijanjikan dengan segala kemewahan dan kesenangan. Semua itu raja yang berkuasa dan bebas sudah memilikinya. Siapa Catherine nak memberitahu raja tentang perkara itu. Tak semudah itu Catherine dapat memujuk dan menundukkan raja yang sudah masak dengan helah musuh dalaman dan luaran kerajaannya.
Raja yang bebas adalah raja yang sangat berkuasa
Banshir melihat apa yang berlaku dalam negara dengan pertembungan kuasa antara raja memerintah dengan Catherine yang mahu berkuasa menundukkan raja. Catherine sudah berjaya menundukkan beberapa orang raja yang berkuasa tetapi masih gagal menundukkan seorang raja bernama Bumiphol Badhigol. Apa yang pasti Catherine tidak akan berjaya kerana kuasa raja Bumiphol sangat kuat.
Bumiphol boleh membebaskan para hamba dan menebus hamba hamba dalam tawanan di negara musuh. Bumiphol tidak dapat ditundukkan oleh kuasa duit Catherine. Walau dibakar dan dimusnahkan sekalipun istana Bumiphol, dia tak akan musnah. Tetapi mustahil istana Bumiphol dapat dibakar kerana Catherine sendiri pun tak mahu istana itu musnah terbakar. Catherine mahu menawan Bumiphol dan istananya tanpa perlu mengguna kekerasan. Dia akan cuba dan terus mencuba sehingga berjaya. Tapi tak semudahnya.
Selagi raja Bumiphol mempertahankan kebebasannya selagi itulah kekuasaannya terus unggul dan tidak mampu ditawan sesiapa pun. Banshir sudah melihat semua apa yang berlaku antara pertembungan raja Bumiphol dengan Catherine ini. Kerana Banshir tahu raja Bumiphol boleh menolong rakyatnya bebas daripada menjadi hamba maka Banshir memohon pertolongan baginda. Banshir adalah salah seorang mangsa perhambaan kepada Catherine tanpa disedari olehnya sendiri.
Mengetahui kekuasaan raja Bumiphol Badhigol yang hebat itu, Banshir mahu tahu bagaimana raja itu boleh menjadi sangat hebat sehingga kehebatan Catherine yang berjaya menundukkan ramai para raja yang lain gagal menundukkannya.
Peraturan Catherine dan peraturan Bumiphol
Catherine berjaya menundukkan ramai orang dalam semua peringkat termasuk raja kerana peraturannya mudah. Tak ada duit tak apa. Kalau mahu hidup senang dan mewah, boleh hutang dulu dan bekerja lah untuknya bagi membayar hutang tersebut. Masalahnya, hutang itu hanya akan habis selepas bertahun tahun dan selama itu jugalah mereka yang berhutang mesti ikut arahannya sebagai seorang pekerja.
Bumiphol berjaya mengekalkan kekuasaannya kerana peraturannya mudah. Tak ada duit tak apa. Kalau mahu hidup senang dan mewah mesti bekerja dahulu dan dapatkan sumber kuasa yang boleh menjadikan dia terus berkuasa dan semakin berkembang kekuasaannya. Untuk mengembangkan kuasanya, Bumiphol mesti mengumpul lebih ramai pengikut yang setia dan sedia berkhidmat untuknya tanpa perlu berhutang.
Cara terbaik Bumiphol mengumpul ramai pengikut setia adalah membebaskan lebih ramai para hamba yang terpedaya dengan Catherine. Hamba itu termasuklah Banshir. Sebab itu Banshir menawarkan diri untuk menjadi pengikut raja Bumiphol. Raja Bumiphol memberi arahan dengan mengikuti peraturannya. Peraturan itulah yang mesti diikuti Banshir.
Peraturan Bumiphol untuk rakyat yang mahu bebas daripada perhambaan dalah peraturan yang sama digunakannya untuk membebaskan kerajaannya daripada tunduk kepada kekuasaan Catherine. Daripada situlah Banshir belajar bagaimana raja Bumiphol menentang Catherine tanpa perlu berperang.
Lagipun Bumiphol tidak boleh menangkap Catherine kerana kelicikannya untuk dihadap ke atas apa apa pertuduhan. Catherine tidak melakukan apa apa jenayah pun. Dia tidak melakukan kekerasan ke atas hambanya, sebaliknya hambanya yang merelakan diri untuk diperhambakan.
Justeru, cara terbaik raja Bumiphol untuk melemahkan penguasaan Catherine adalah menawarkan kebebasan kepada hamba hamba hutang Catherine yang terjebak. Peraturan Catherine adalah mudah, bayar hutang hingga selesai baru boleh bebas. Tapi kalau hutang terlalu banyak bagaimana nak bebas. Maka, jadi lah hamba hutang kepada Catherine bertahun tahun lamanya.
Ikut peraturan raja untuk bebas daripada jadi hamba
Banshir membuat keputusan untuk mengikut peraturan raja. Adakah Catherine akan menghalangnya? Ya, dia akan menghalangnya tetapi bukan dengan kekerasan. Catherine seperti yang diceritakan sangat licik dan tidak akan melakukan sebarang jenayah bagi memastikan dia kekal berkuasa dan mencabar kekuasaan raja sehingga raja itu tunduk kepadanya.
Hamba hutang Catherine boleh cuba untuk membebaskan diri tetapi Catherine tahu tidak ramai yang mampu bebas kerana nafsu tamak dan tidak sabar akan membelenggu mereka untuk terus menjadi hamba hutang. Betapa malangnya mereka yang tamak dan tidak sabar itu jika tidak mahu mengubah sikap.
Banshir mahu bebas daripada terus menjadi hamba hutang. Justeru peraturan raja yang dia perlu ikut adalah bersabar, jangan tamak da teruskan bekerja. Apabila dapat upah simpan sebahagiannya dan dapatkan sumber yang boleh menjadikan seseorang itu mampu memiliki kuasa. Apabila ada sumber itu, kuasanya dapat dibangunkan dan bekerjasama dengan sekutu sekutu raja dalam mempertahankan kerajaan.
Sebenarnya sumber yang diperolehi dengan bekerja itu juga adalah sumber yang sama digunakan oleh raja dalam mengukuhkan kekuasaannya. Bermakna memiliki sumber itu juga bermakna boleh bekerjasama dengan raja mempertahankan kerajaannya. Rakyat jelata yang setia dan menunjukkan sumbangan bakti memepertahankan kerajaan akan diberi ganjaran oleh kerajaan.
Ganjaran berupa kekayaan, kemewahan, kemegahan dan darjah kebesaran raja raja berdaulat. Ganjaran itu akan memberi kebebasan seluas luasnya untuk melakukan apa saja yang boleh memberi kebaikan kepada negara dan kerajaan memerintah. Ini adalah ancaman kepada Catherine tetapi selagi ia tidak menggugat selagi itulah Catherine yakin kekuasaan mampu mencabar dan menundukkan kekuasaan raja raja.
Walaubagaimanapun, pertembungan kuasa antara Catherine dan raja ini berlaku secara aman dan demokrasi. Sesiapa saja boleh memilih mahu jadi hamba atau pengikut raja yang setia. Masing masing akan cuba memujuk pengikut yang ramai bagi mengukuhkan kuasa.
Bagi Banshir, pengalaman lalu menjadi pengajaran berguna untuknya untuk tidak mahu lagi terperangkap dengan helah dan janji manis Catherine. Sekarang Banshir terpaksa menebus dirinya bagi membebaskan diri daripada terus menjadi hamba hutang. Banshir cuba berusaha untuk mengikuti peraturan raja supaya dia mendapat kuasa kebebasan yang sebenar pada suatu hari kelak.
Ulasan
Catat Ulasan